TEKAN PLAY UNTUK MENDENGAR RADIO SINAR.FM

Info Guru Bertugas Mingguan Tahun 2011

 
Sila pilih minggu :
Tarikh Bertugas :
Guru Bertugas 1 :
Guru Bertugas 2 :
GuruBertugas 3:
Tema Mingguan :
   

27 November 2008

PERTANDINGAN ROBOTIK KEBANGSAAN 2007 ( NATIONAL ROBOTICS COMPETITION – NRC)

Penyataan demi penyataan tentang pentingnya pengetahuan sains dan teknologi seringkali kita dengar diucapkan oleh para pemimpin kita melalui media massa. Sesungguhnya pengetahuan sains dan teknologi ini merupakan salah satu keperluan yang teramat penting, terutamanya dalam menangani pelbagai cabaran yang sedang dan akan kita hadapi dalam era globalisasi ini. Justeru pengetahuan sains dan teknologi, yang termasuk bidang ICT dan robotik, telah dikenal pasti dan ditekankan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 sebagai antara ilmu yang perlu dikuasai oleh generasi muda hari ini. Penekanan tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjana pertumbuhan modal insan berminda kelas pertama seperti yang telah diletakkan sebagai teras kedua Rancangan Malaysia Kesembilan.

Sehubungan dengan itu, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah memulakan pelbagai rancangan untuk memastikan bahawa generasi muda tidak ketinggalan dalam menguasai pengetahuan sains dan teknologi. Salah satu rancangan berkaitan yang sedang dilaksanakan ialah usaha menaiktarafkan sekolah-sekolah rendah dan menengah ke taraf dunia oleh Kementerian Pelajaran. Usaha ini akan dirintis oleh 300 buah sekolah kluster yang akan diumumkan secara berperingkat-peringkat oleh pihak kementerian. Di sekolah-sekolah kluster ini nanti, segala kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini dan berkualiti, yang meliputi bidang akademik dan non-akademik akan disediakan. Dengan demikian, diharapkan akan lahirlah generasi muda yang berwibawa, berpengetahuan, berkemahiran, dan berkerampilan yang berupaya membawa negara ke arah kemajuan yang gilang-gemilang.

Selain Kementerian Pelajaran, Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi turut dipertanggungjawabkan untuk merancang program yang berkaitan dengan sains dan teknologi. Salah satu program yang telah dirancang itu ialah Program Penggalakan Sains dan Teknologi Negara yang melibatkan pelbagai agensi daripada kedua-dua kementerian berkenaan, di samping mengajak sektor swasta menawarkan sumbangan kepakaran dan sebagainya yang berkaitan. Oleh itu, penganjuran Pertandingan Robotik 2007 ini secara usahasama antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi dengan pihak swasta, yakni Sasbadi Sdn. Bhd. adalah selaras dengan rancangan kerajaan tersebut dan amatlah digalakkan.

Pertandingan Robotik Kebangsaan 2007 ini adalah kali yang ketiga diadakan sejak tahun 2005 yang lalu. Sejak pertandingan robotik ini diperkenalkan, sambutan yang diberikan amat memberangsangkan dengan jumlah penyertaan pasukan yang meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 2006, terdapat 1155 pasukan sekolah rendah dan sekolah menengah dari Semenanjung, Sabah, dan Sarawak yang mengambil bahagian. Pada tahun 2007 pula, sudah ada 3000 pasukan sekolah rendah dan sekolah menengah dari Semenanjung, Sabah, dan Sarawak yang berdaftar untuk menyertai pertandingan robotik ini.

Pertandingan yang berkonsepkan sains dan teknologi seperti pertandingan robotik ini amat wajar diberi sokongan. Melalui pertandingan ini, murid-murid berpeluang mengaplikasikan pelbagai kemahiran sains dan teknologi yang dipelajari di samping menunjukkan kreativiti dan inovasi sendiri. Selain itu, pertandingan ini dapat dijadikan sebagai pentas yang sesuai untuk mendedahkan murid-murid kepada perkembangan sains dan teknologi serta robotik yang serba canggih. Apatah lagi, pertandingan robotik ini dilangsungkan secara berperingkat-peringkat sehingga ke peringkat kebangsaan dan malah ke peringkat dunia.

Peringkat akhir Pertandingan Robotik Kebangsaan 2007 telah diadakan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 15 hingga 19 Ogos sempena Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi Kebangsaan 2007. Pasukan yang berjaya dalam kategori masing-masing akan mewakili Malaysia ke kejohanan World Robot Olympiad (WRO) 2007 yang akan berlangsung di Taipei, Taiwan pada 17 hingga 18 November 2007.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
.
.



robotik @ sk jitra 2008

Back to TOP