B
ertuahnya ditakdirkan menjadi Melayu, kehidupan kita sejak kecil lagi sudah terdedah dengan pelbagai ragam peribahasa yang terdiri daripada kata pepatah, simpulan bahasa, perumpamaan dan bidalan. Tulis Pendeta Za’ba, “peribahasa-peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.”
Antaranya ialah ‘kaki bodek.’ Kaki bodek ini secara mudahnya merujuk kepada sikap seseorang yang suka membodek pihak yang dibodek dengan harapan mendapat laba atau mendapat ruang keselesaan atau jaminan keselamatan dari hasil bodekan. Bodek? Kejadah apa bodek ni? Bodek ini lebih kurang sama macam ‘ampu’ – mengampu. Motifnya sama. Saudara-mara kepada ‘kaki bodek’ ialah ‘kaki kipas’, ‘kaki ampu’ dan tambah lagi satu: ‘kaki jilat.’
Konotasi ‘kaki jilat’ ini dirasakan lagi cun, lagi provokatif seperti kata arwah Za’ba tadi, “sedap didengar dan bijak perkataannya” – kerana berjaya membuka 1001 imaginasi liar. Bayangkan, kaki jilat ini bukan menjilat ‘kaki’ saja kerjanya, tapi kebarangkalian untuk menjilat bahagian lain juga amatlah tinggi.
Kaki bodek membodek dek kerana mereka seakan tak yakin dengan kemampuan fikiran mereka sendiri. Lepas itu mengharapkan pula pihak yang ingin dibodek agar menjadi ‘Jesus the Saviour’ atau pemberi rahmat kepada mereka. Sedangkan orang yang berfikir sepatutnya tak takut memperjudikan kekacakan intelektual mereka dan mempertahankannya bermatian-matian apabila dicabar.
Hasil yang dituai dari konsep membodek sebenarnya memang seperti hampas tebu yang sepatutnya dibakar. Kerana mahu selamat, markah tinggi, dan suka mengipas, mereka semua jadi pengecut, jadi pak turut.
Membodek juga selalunya kerap berselindung di sebalik tabir kepatuhan. Nampak macam patuh, macam bagus, tapi sebenarnya ada maksud tersirat. Ini juga satu kontradiksi kepada elemen kejujuran. Senang cerita, membodek ini adalah klon kepada penipuan. Sambil tak menafikan bahawa patuh itu sifat yang mulia, dalam menuntut ilmu, awas, kepatuhan membabi buta tak mustahil jadi penyebab untuk terus diulit kebebalan.
Jelas, kebebasan berfikir yang sepatutnya diagungkan, bukan diukur dari banyak mana gulungan kertas ijazah. Kertas ijazah berlambak-lambak, hatta yang berstatus P.H.D sekalipun langsung tak berguna, tak berfaedah jika pemiliknya kecut untuk menyatakan pemikiran sendiri ketika keadaan memerlukan.
Jika ditinjau sekali lagi, amat malang, gejala bodek telah menjadi duri dalam daging yang dirayakan dalam sebahagian budaya kontemporari di negara ini. Bagi yang memerintah, walau di mana-mana pun, situasi ini pastinya disambut dengan sorak-sorai kegembiraan.
Catatan Membelah Awan 3.0
-
*Mungkin saja ceriteranya sudah berlalu…*
Episod sebelumnya...
Catatan Membelah Awan
Catatan Membelah Awan 2.0
Segala Puji bagi Allah Tuhan sekalian ...
6 years ago
0 comments:
Post a Comment